Tajuk : Andai kata Kit Siang jadi PM
link : Andai kata Kit Siang jadi PM
Andai kata Kit Siang jadi PM
DETIK DAILYOleh Zin Mahmud
Menjelang pilihan raya umum ke-14 tahun depan, maka disebarkan ingatan kemungkinan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang akan menjadi perdana menteri jika Pakatan Harapan (PH) menang.
Sudah tentu Kit Siang, DAP dan PH menafikannya dengan memandang ingatan seperti itu bertujuan untuk menakutkan pengundi, khususnya di kalangan Melayu.
Adalah jelas ia bertujuan untuk mempermainkan sentimen perkauman. Maknanya orang Melayu ditakutkan dengan keadaan kalau-kalau akan berlaku kepimpinan oleh kaum Cina di Malaysia.
Sedangkan PH sentiasa menghujahkan bahawa bilangan kawasan yang ditandingi oleh DAP kelak, iaitu yang bermajoriti orang Cina adalah terlalu sedikit untuk membolehkan mana-mana pemimpin parti itu untuk disokong menjadi Perdana Menteri. Tetapi hujah ini tidak dipedulikan kerana mereka membayangkan bahawa di belakang PH adalah DAP.
Dari segi pertimbangan umum (common sense), andai kata PH menang, malah sesiapa saja pun, tidak berlaku pelantikan bukan Melayu sebagai perdana menteri. Majoriti Melayu dirasakan tidak akan menerima keadaan demikian.
Maka tidak akan ada parti di negara ini, terutama parti yang dipimpin dan anggotanya majoriti orang Melayu, yang akan menyokong seorang bukan Melayu sebagai perdana menteri.
Lebih-lebih lagi 3/4 anggota PH dipimpin oleh Melayu dan majoriti ahlinya juga orang Melayu. Malah, salah sebuah parti PH iaitu PPBM dianggotai oleh orang Melayu di samping perjuangannya jelas untuk orang Melayu atas nama pribumi.
Ketiga-tiga parti pimpinan Melayu itu juga mmpunyai asal-usul parti Melayu. PPBM dan PKR dianggotai oleh bekas ahli Umno. Amanah merupakan parti yang ditubuhkan bekas ahli PAS. Ditambah pula PKR juga merupakan hasil gabungan daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM), yang juga merupakan parti pimpinan Melayu.
Namun begitu, Amanah dan PPBM adalah parti baharu dan kecil. PKR juga masih boleh dikira baharu dan keanggotaan ahlinya tidaklah sebesar Umno atau PAS, 2 parti besar Melayu yang menentang PH.
DAP pula lebih lama wujud daripada ketiga-tiga rakannya dalam PH. Bagaimanapun ia bukan merupakan parti massa seperti MCA. Adalah dipercayai keanggotaan ahli MCA lebih besar dan luas daripada DAP. Tetapi DAP sebagai parti perkaderan lebih bergantung pada sokongan pengundi daripada bilangan ahli.
Namun, Lim dianggap sebagai pemimpin paling senior dalam masyarakat Cina. Tetapi dalam Malaysia, pemimpin paling senior ialah Tun Dr Mahathir Mohamad, dan bukannya Lim.
Malah, Majlis Presiden PH telah juga dikeluarkan cadangan bahawa yang akan menjadi perdana menteri jika gabungan pembangkang menang ialah Dr Mahathir, walaupun untuk sementara.
Beliau bukan saja menjadi pengerusi PH, tetapi Lim juga tidak memegang sebarang jawatan dalam gabungan pembangkang itu. Dalam DAP sendiri, ketuanya ialah Lim Guan Eng melalui jawatan setiausaha agung. Lim hanya memegang jawatan Ketua Parlimen DAP. Kalau seorang perdana menteri dari DAP hendak dipilih, maka Guan Eng adalah calonnya, bukan bapanya.
Sememangnya dalam sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan Malaysia, seorang perdana menteri dipilih daripada ahli Parlimen yang disokong oleh majoriti ahli Dewan Rakyat, tidak kiralah kaum apa dan sama ada partinya mempunyai majoriti atau tidak.
Sesiapapun ahli parlimen yang disokong oleh majoriti ahli Dewan Rakyat berpeluang menjadi perdana menteri, tidak kira kaumnya atau besar mana kerusi yang dimilikinya. Kalau dari segi ini, Kit Siang berpeluang menjadi perdana menteri sekiranya majoriti menyokongnya.
Tetapi pada realiti dan sejarahnya, parti yang memiliki majoriti kerusi dalam Dewan Rakyat akan menjadi perdana menteri. Secara konsisten, sejak kemerdekaan, perdana menteri negara ini dipegang oleh pemimpin Umno.
Lumrah kaum utama jadi PM
Orang yang menjadi pemimpin utama negara pun adalah orang Melayu walaupun tiada peruntukan untuk itu dalam Perlembagaan Persekutuan. Di mana-mana pun di dunia, kecenderongan untuk memilih ketua eksekutif negara daripada kaum majoriti adalah suatu yang lumrah.
Sudah tentu perdana menteri di Singapura adalah dari kalangan kaum Cina. Di Indonesia, presidennya adalah dari kalangan Jawa. Seperti mana perdana menteri Britain, Australia dan Kanada adalah dari kalangan golongan kulit putih.
Dalam parti politik pun, walaupun DAP, PKR dan Amanah mempunyai ahli berbilang kaum, tidaklah sesiapa terfikir bahawa DAP dipimpin oleh orang Melayu sementara PKR dan Amanah dipimpin oleh seorang Cina.
Dalam demokrasi seharusnya kriteria pemimpin bukanlah menurut kaum atau anutan agamanya, tetapi kemampuannya untuk mengurus negara dengan memberi kebajikan kepada rakyat, khususnya golongan susah. Namun, walaupun pendirian perkauman sudah ditolak dalam amalan berpolitik zaman moden tetapi sentimen perkauman adalah suatu realiti yang wajar dipantau dan dibendung bagi memelihara keharmonian negara.
Di Malaysia, keadaannya adalah lebih sensitif, terutamanya di Semenanjung Malaysia yang merupakan wilayah teras negara. Sejarah penjajahan British ke atas Semenanjung Malaysia menjadikan negara ini berbilang kaum dan agama dengan isu perbezaan kedudukan ekonomi dicorakkan menurut kaum.
Akibatnya terdapat perasaan tidak selamat atau insecurity sentiasa berlaku di kalangan 3 kaum terbesar negara. Orang Melayu yang menguasai politik negara sebelum penjajahan British bimbang kehilangan kedaulatan ke atas negeri-negeri mereka, dan seterusnya dipinggirkan sementara orang Cina juga takut mereka akan kehilangan tempat tinggal dan peluang untuk menyara hidup. Begitu juga dengan kaum India yang berasa tersepit dengan dominasi politik Melayu dan dominasi ekonomi Cina.
Maka keseluruhan perkembangan politik Malaysia berkisar dalam soal ini, baik semasa perjuangan kemerdekaan, melawan Jepun, menentang Malayan Union, mengalahkan komunis, menubuhkan Persekutuan Tanah Melayu, mewujudkan Malaysia dan Dasar Ekonomi Baru adalah kesemuanya untuk menjawab persoalan hubungan kaum supaya warga negara dapat hidup dengan aman dan menerima peluang politik, ekonomi dan sosial yang saksama.
Dokumen negara seperti Perlembagaan Persekutuan, Perisytiharan Kemerdekaan, Perjanjian Malaysia dan Rukun Negara kesemuanya untuk menjamin keselamatan semua kaum dan penganut agama yang menjadi warga negara. Namun begitu parti politik Malaysia bergerak mengikut kaum tertentu dan mempergunakan isu yang dihubungkan dengan sentimen perkauman dan kagamaan untuk mendapatkan sokongan.
Sementara kebanyakan manusia mempunyai kelemahan apabila berdepan dengan sentimen perkauman dan keagamaan, maka tidak hairanlah mereka mudah dibuai dengan rasa bimbang terhadap penguasaa kaum lain, dan seterusnya undi mereka juga dieksploit.
Kebimbangan lama
Kempen untuk menakutkan orang Melayu terhadap kemungkinan negara ini akan jatuh ke tangan pemimpin bukan Melayu berlaku sejak dahulu lagi.
Apabila Malayan Union diperkenalkan, orang Melayu takut mereka kehilangan tanah air mereka.
Ketika Darurat, mereka diingatkan bahawa penguasaan komunis bermakna negara akan dipimpin oleh kaum Cina. Sebab itu usaha Dato Onn Jaafar untuk membuka Umno kepada pelbagai kaum juga ditolak.
Begitu juga keberatan Tunku Abdul Rahman untuk menggabungkan Malaya dengan Singapura dan ia juga membawa kepada dakwaan bahawa pemimpin Singapura, Lee Kuan Yew mempunyai cita-cita menjadi perdana menteri Malaysia. Perkara ini tidak timbul lagi apabila Singapura dikeluarkan.
Tetapi masalah ini terus ditanggung oleh bekas ahli PAP di Malaysia apabila DAP ditubuhkan pada 1968.
Setiap kali pembangkang menjadi kuat, maka orang Melayu diingatkan bahawa mereka akan kehilangan kuasa jika gabungan parti pimpinan Umno dapat dikalahkan.
* Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Utusan Malaysia.
Thus Article Andai kata Kit Siang jadi PM
Itulah artikel Andai kata Kit Siang jadi PM Kali ini, mudah-mudahan dapat memberikan manfaat kepada anda semua. dengan baik, melihat anda dalam menghantar barang-barang lain.
Anda sedang baca artikel Andai kata Kit Siang jadi PM dengan alamat pautan https://malayof.blogspot.com/2017/12/andai-kata-kit-siang-jadi-pm.html
0 Response to "Andai kata Kit Siang jadi PM"
Post a Comment