Perbuatan tersebut menjadi tular selepas seorang individu memuat naik sebuah video berdurasi seminit 28 saat yang menunjukkan pegawai tersebut menendang tiga buah motosikal yang diletakkan di perkarangan surau ILP.
Rakaman tersebut mendapat reaksi negatif daripada ibu bapa dan penjaga yang tidak berpuas hati dengan tindakan biadap individu berkenaan.
Pengarah ILP Kota Bharu, Zainudin Ahmad berkata, dia telah mengambil tindakan segera dengan memaklumkan perkara berkenaan ke pengetahuan pihak ibu pejabat Jabatan Tenaga Manusia (JTM).
“Saya serta pihak pengurusan ILP Kota Bharu ingin memohon maaf atas tindakan tidak wajar oleh pegawai tersebut hingga menimbulkan keadaan tidak selesa kepada ibu bapa pelajar yang berurusan.
“Saya akan memastikan perkara tersebut tidak akan berlaku pada masa akan datang demi imej dan intergriti ILP Kota Bharu serta JTM sebagai institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) negara yang terunggul,” katanya.
Katanya, semalam adalah dijadualkan untuk pendaftaran pelajar lama dan ILP menetapkan peraturan sebarang kenderaan tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam dan perlu diletakkan di luar. - K! ONLINE