Patut dibaca: Menuju penjajahan lepas 60 tahun merdeka?

Patut dibaca: Menuju penjajahan lepas 60 tahun merdeka? - kawan-kawan Hallo MALAY OF RE NEWS, Dalam artikel yang anda baca kali ini dengan tajuk Patut dibaca: Menuju penjajahan lepas 60 tahun merdeka?, Kami sediakan artikel ini untuk anda membaca dan mendapatkan maklumat di dalamnya. Mudah-mudahan kandungan posting Artikel BUDAYA, Artikel EKONOMI, Artikel ENTERTAIMENT, Artikel HOBY, Artikel NEWS, Artikel OLAHRAGA, Artikel POLITIC, Artikel TRAVELING, Kami menulis ini, anda boleh memahami. Baiklah, membaca baik.

Tajuk : Patut dibaca: Menuju penjajahan lepas 60 tahun merdeka?
link : Patut dibaca: Menuju penjajahan lepas 60 tahun merdeka?

Baca juga


Patut dibaca: Menuju penjajahan lepas 60 tahun merdeka?

Monday, January 1, 2018
MENUJU PENJAJAHAN LEPAS 60 TAHUN MERDEKA?

MASUKAN BLOG PADA KALI INI

SEMPENA PERHIMPUNAN AGONG PERTAMA 
PARTI PERIBUMI BERSATU MALAYSIA 
YANG PERTAMA 
PADA 
30HB DISEMBER, 2017

Pada 31 Ogos, 2017 genaplah 60 tahun
Malaya MERDEKA.

Saya menunggu selama hampir 4 bulan untuk redanya keghairahan kerajaan menganjurkan pesta Merdeka sebelum mengajak para pembaca yang budiman untuk sama-sama merenung erti kemerdekaan yang sangat bermakna bagi kita.

EUPHORIA PESTA PERHIMPUNAN AGONG UMNO

Saya juga tidak sanggup menunggu begitu lama untuk memberi komen mengenai pandangan saya terhadap euphoria Perhimpunan Agong UMNO yang baru berlalu.

Oleh kerana sudah banyak komen mengenai bajet yang telah dibentang di dalam Parlimen, biarlah penulis lain yang membuat komentar mengenainya. 

MATLAMAT DIADAKAN SAMBUTAN HARI MERDEKA

Saya pernah menjadi Menteri yang mempengerusikan Jawatankuasa Sambutan Hari Kebangsaan dari tahun 1983 sampai tahun 1994 dan memimpin 12 kali perayaan Hari Kebangsaan.

Pada setiap tahun tumpuan diberi kepada 'Tema Sambutan Hari Kebangsaan' dengan harapan supaya rakyat Malaysia ditanam dengan nilai-nilai yang diketengahkan oleh tema Hari Ulangtahun Kemerdekaan.

Tema sambutan hari kebangsaan, dan sejarah kemerdekaan, adalah 2 aspek terpenting yang perlu diketengahkan melalui acara-acara sambutan.  

BAJET PERAYAAN YANG TERBATAS

Besar atau kecilnya acara sambutan tergantung kepada berapa banyak peruntukan wang yang diberi oleh kabinet untuk acara itu. Oleh kerana faktor tema, yang dipakai sepanjang tahun, lebih penting dari kemeriahan sambutan, untuk satu hari, maka bajet untuk sambutan perayaan hari kebangsaan biasanya tidak melebihi RM4 juta.

12 TEMA HARI KEBANGSAAN

Antara tema yang telah diketengahkan pada Hari Kebangsaan sepanjang saya menjadi pengerusi ialah:

1. 1983   - Bersama Ke Arah Kemajuan
2. 1984   - Amanah Asas Kejayaan
3. 1985   - Nasionalisme Teras Perpaduan
4. 1986   - Bangsa Tegas Negara Teguh
5. 1987   - Setia Bersatu Berusaha Maju
6. 1988   - Bersatu
7. 1989   - Bersatu
8. 1990   - Berjaya
9. 1991   - Wawasan 20 20
10. 1992 - Wawasan Asas Kemajuan
11. 1993 - Bersatu Menuju Wawasan
12. 1994 - Nilai Murni Jayakan Wawasan

Walau apa jua program yang diketengahkan perkara penting yang menjadi perhatian pokok ialah sejarah kemerdekaan.

DUA KEJADIAN KECIL YANG BESAR ERTINYA

Dua kejadian kecil akhir-akhir ini yang membimbangkan saya ialah (1) pembuangan dalam buku sejarah untuk sekolah-sekolah mengenai kisah Tun Dr. Mahathir bin Mohamad, sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke 4 dan (2) penghapusan gambar Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri ke 4 dalam papan iklan di Galeri PETRONAS.

Sudah tentu, kejadian yang tidak pernah terfikir ini berlaku samaada atas arahan pihak atasan atau ada pihak yang hendak menawan hati tokoh yang berkuasa yang memusuhi Tun Dr. Mahathir kerana menegur kecurangan, kecuaian dan rasuah yang ingin disembunyikan dari rakyat Malaysia sehingga rakyat di luar negara sudah lebih mengetahui mengenai keaiban di negara kita dari yang kita sendiri ingin mengakui atau hendak menyembunyikannya. 

TIGA KENYATAAN YANG MENGEJUTKAN

Dalam perhimpunan agong UMNO pula saya terdengar seorang bekas Menteri dan Ketua Wanita UMNO, seorang Menteri, seorang lagi Menteri yang juga menjadi Naib Presiden UMNO dan Perdana Menteri menyatakan:

1. Ketua Wanita UMNO berkata Dato' Seri Najib sebanding dengan Sallehuddin Al Ayubi. Jelas sekali Tan Sri Shahrizat, walaupun seorang peguam tetapi jahil dalam bidang sejarah Islam.

2. Menteri Pengguna mengatakan bahawa 'Kenaikan harga    barang itu ialah kehendak Allah swt. Jelas nampak bahawa Dato' Hamzah Zainuddin tidak teringat bahawa dalam setiap do'a ummat Islam kita katakan 'Yang baik itu dari Allah dan yang buruk itu dari kita sendiri.' Bererti, keburukan nasib rakyat dengan beban GST, penghapusan toll dan subsidi, kenaikkan harga barang ialah tanggungjawab manusia dan bukan keputusan Tuhan. Manusia di sini bermaksud Barisan Nasinal di bawah pimpinan UMNO.

3. Menteri Pertahanan telah menyatakan bahawa Malaysia sanggup menghantar tenteranya ke Palestin. Ucapan ini dilaporkan oleh Malay Mail dan dipetik oleh media sing di Singapura dan terhebah ke seluruh dunia. Ini bererti Malaysia mengisytihar perang ke atas Israel, tanpa keputusan kabinet. Perdana Menteri Israel Benjamin Natanyahu menyindir bahawa beliau mampu mengalahkan Malaysia dalam masa satu minit. Walau pun kita boleh  nafikan kenyataan ini dalam media rasmi tempatan, tetapi dunia tanpa sempadan tidak dapat kita putar-belitkan.

4. Perdana Menteri yang dulunya berikrar kepada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bahawa beliau. walaupun dari negara yang lebih kecil ekonominya, yang dilanda pula dengan masalah penyelewengan kewangan yang teruk, dan sedang didakwa dalam mahkamah di Amerika Syarikat,  yang sukar dikendali, sehingga terpaksa bergantung kepada negara China yang berfahaman komunis, akan bantu pemulihan semula ekonomi Amerika Syarikat yang lebih kuat, kukuh dan mampu dari ekonomi Malaysia;

Perdana Menteri juga, dalam pertemuan yang sama menegaskan 'musuh US adalah musuh beliau'. Tiba- tiba dalam Perhimpunan Agong UMNO Dato' Seri Najib telah kedengaran menjerit melolong, dengan nada yang lantang, dan menakutkan orang yang tidak kenal beliau, bahawa beliau tidak rela tempat ibadat yang ketiga suci  dalam Islam, Baitulmuqaddis, dikuasai oleh Yahudi. Sedangkan yang menyebabkan Baitulmuqaddis dijadikan ibu kota Israel ialah Donald Trump yang Perdana Menteri dikatakan membelanjakan banyak wang untuk dapat bertemu beliau. 

Kemudiannya, setelah tenang berfikir Perdana Menteri menyatakan beliau boleh bekerjasama dengan Amerika Syarikat dalam bidang lain, walaupun kita tidak setuju dasarnya mengenai Baitulmqaddis. 

Beberapa kenyataan yang dibuat oleh 4 tokoh UMNO ini mengesahkan punca kekeliruan yang sebesar di atas berpunca dari mengalirnya darah 'Cash is King' dalam saluran darah pemimpin di sana sini kerana saya masih ingat satu kenyataan awal yang masih kekal dalam ingatan saya di mana seorang pemimpin UMNO menyatakan bahawa 'Rezekinya di tangan Najib'.

KEJAHILAN UGAMA

Jelas sekali Ketua Wanita UMNO tidak mempelajari sejarah Islam dan tidak mengenali panglima dan pemimpin Islam dalam perang salib yang bernama Sallehuddin Al Ayub, seorang tokoh Islam dari kaum Kurdish.

Menteri yang menyalahkan Allah swt kerana kenaikan harga barang juga lupa kepada do'a yang selalu dibaca di dalam majlis-majlis apabila imam menyebut 'Yang baik itu dari Allah dan yang tidak baik itu dari kita sendiri.' Kita juga mendo'akan semoga umat Islam di negara ini tidak lupa bahawa 'rezeki itu dari Allah swt.'

Pemimpin dan ahli UMNO hendaklah mengetahui batasan mengampu yang patut dijadikan pedoman supaya tidak tergelincir iman dan akidah walau bagaimana jua banyak upahnya.

LUPA PADA UGAMA

Sudah tentu semua ahli dan pemimpin UMNO juga tidak boleh lagi menerima panduan dari beberapa orang pihak atasan PAS yang tidak lagi dapat mengenal buruknya perangai YAHUDI yang meminjamkan wang kepada 1MDB dengan komisyen 10% yang menekankan, dan mengenakan bayaran lebih 6% RIBA setiap tahun sehingga 1MDB tidak mampu membayar hutangnya kecuali dari pinjaman baru, walau dari pihak KOMUNIS sekalipun.

Dengan satu saja sesi penerangan oleh seorang mu'allaf, yang bergaji lebih dari patut dan lumayan, pemimpin-pemimpin parti ugama, yang dikatakan mendapat ganjaran yang agak lumayan, kelihatan telah hilang perhitungan. Apatahlagi dengan pemimpin dan ahli parti yang tidak mengguna ugama sebagai namanya.

KEMBALI KEPADA SEJARAH 

Pada kesempatan ini saya berhasrat menulis secebis kisah mengenai sejarah kemerdekaan kita dan DI MANA KITA SEKARANG INI SETELAH KITA MERDEKA SELAMA LEBIH 60 TAHUN.   

BRITISH BERCITA-CITA UNTUK MENJAJAH

Setelah menang dalam Perang Dunia ke II British mula berselera untuk menjajah Malaya secara kekal, seperti mereka menjajah Canada, Australia dan New Zealand, dengan rancangan penubuhan Malayan Union. Mereka tidak lagi puas sekadar menjadi penasihat kepada raja-raja Melayu yang mengundang mereka untuk menjadi penasihat sehingga berlakunya Perang Dunia ke II.

PERTUBUHAN MELAYU MENENTANG PENJAJAHAN

Sebelum rancangan mewujudkan Malayan Union pun sudah ada tindakan bersendirian dan berkumpulan oleh patriot Melayu di Semenanjung Malaya, di Sabah dan Sarawak, yang menentang penjajahan British. Mereka, seperti Awang Ramli di Sarawak dan Rosli Dobi di Sabah telah dihukum gantung oleh pihak British.

Tidak ada di kalangan RAKYAT dari bangsa Melayu yang menyokong rancangan British untuk menubuh Malayan Union. 

Bangsa Melayu pada waktu itu disemarakkan dengan semangat memusuhi penjajah di bawah pimpinan (1) tokoh-tokoh berjiwa Islam yang mendapat pendidikan di Timur Tengah, di Indonesia dan sekolah ugama/pondok dalam negeri, (2) tokoh-tokoh berjiwa nasionalis yang mendapat pendidikan dari Maktab Perguruan Sultan Idris di Tanjung Malim, (3) tokoh-tokoh dari kalangan bertalian ke istana yang pernah belajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar yang didirikan oleh raja-raja Melayu dari 'federated Malay states' iaitu Pahang, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan, dan (4) cerdik pandai dari sekolah-sekolah prima di negeri-negeri 'non-federated Malay States' seperti Kedah (Kolej Sultan Abdul Hamid), Kelantan (Kolej Sultan Ismail), Trengganu dan Johor (English Kolej Johore).

PARTI PERIKATAN MENUBUHKAN KERAJAAN

Sebanyak 41 buah pertubuhan Melayu telah menghantar 107 orang wakil dan 56 orang pemerhati ke Kongres Melayu Pertama yang diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur dari 1 hingga 4 Mac, 1946 yang telah memutuskan untuk menghalang pihak British dari menubuhkan Malayan Union. Walaupun hebat tentangan ke atas rancangan pihak British ini mereka tetap mengisytiharkan tarikh pelaksanaan Malayan Union pada 1 April, 1946 apabila Gabenor Malayan Union mengangkat sumpah.

Dato' Onn telah memanggil Kongres Melayu tergempar pada 29 dan 30 Mac, 1946, bertempat, pada hari pertama, di Pejabat Akhbar Majlis dan, pada hari kedua, di Kelab Peranakan Penang. Antara keputusan yang dicapai ialah:

1. Orang-orang Melayu hendaklah memulau istiadat melantik Gabenor;

2. Raja-raja Melayu jangan hadiri istiadat itu;

3. Meminta wakil-wakil Melayu yang duduk dalam Majlis Mesyuarat Negeri/ Settlement atau Persekutuan memulaukan majlis itu;

4. Orang Melayu menunjukkan tanda berkabung dengan melilitkan kain putih di songkok selama satu hari pada 1 April, 1946.

Dari 11 hingga 12 Mei, 1946, di Istana Balai Besar, Johor Kongres Melayu Kedua telah diadakan yang diakhiri dengan penubuhan UMNO yang memutuskan untuk berjuang sehingga tercapai kemerdekaan.

MALAYA MERDEKA

Pada 31 Ogos, 1957 UMNO dengan kerjasama parti MCA, yang ditubuhkan oleh kaum China dan MIC, yang ditubuhkan oleh kaum India, dalam gabungan parti PERIKATAN, telah berjaya memerdekakan negara Malaya melalui perundingan.

Hasil perundingan ini ialah wujudnya satu perlembagaan yang meletakkan (1) Islam sebagai Ugama Persekutuan, (2) Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, (3) Hak Istimewa Orang-Orang Melayu dimaktubkan dalam Perlembagaan, (4) Demokrasi Berparlimen menjadi sistem pemerintahan dan (5) Raja Berperlembagaan untuk mempertahankan ugama Islam, adat istiadat Melayu dan perpaduan negara.

MENJAMIN PERPADUAN RAKYAT

Walau pun bahasa Melayu menjadi Bahasa Kebangsaan tetapi Perlembagaan Malaysia juga memberi kebebasan untuk bahasa ibunda bukan Melayu terus dipelajari dan, walaupun Islam menjadi Ugama Persekutuan Perlembagaan Malaysia memberi kebebasan untuk rakyat berbilang ugama mengamalkan ugama masing-masing.
 
Ugama Islam sebagai ugama persekutuan, boleh menyatupadukan semua Umat Islam di bawah naungannya asalkan ugama tidak dijadikan alat politik untuk memecahbelahkan sesama Umat Islam.

Dengan menjadikan Islam sebagai Ugama Persekutuan maka pembiayaan untuk pembangunan masjid, surau, sekolah ugama rendah dan menengah, seterusnya universiti seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) boleh mendapat peruntukan daripada kerajaan.

Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH) juga telah wujud sebagai lanjutan kepada kesedaran ugama hasil daripada perhatian yang diberi kepada Ugama Islam dalam Perlembagaan.

Bahasa Melayu telah tidak dimajukan dengan penambahan ilmu di dalamnya sementara penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu dan komunikasi telah terabai sehingga merugikan.

Hak Istimewa Orang-Orang Melayu, antara lain, telah memberi tumpuan kepada:

          1. Pemberian tanah kepada orang Melayu yang tidak
              bertanah. Aspek ini membolehkan kita menjayakan
              program FELDA dan FELCRA
          2. Pemberian biasiswa kepada pelajar-pelajar Melayu yang
              berkelayakan untuk ke universiti dan institusi-institusi
              pengajian tinggi di dalam dan di luar negara. Oleh kerana
              pihak bukan Bumiputera, khusus dari kaum China, juga
              dibiayai oleh swasta dari kalangan 
              kaum mereka, pemberian majoriti biasiswa kepada 
              Bumiputera tidak menempangkan dan mengurangkan 
              pencapaian kaum lain dalam bidang pendidikan.
          3. Pemberian keutamaan kepada pemohon lessen dan izin 
              yang dikeluarkan untuk berbagai jenis kegiatan.

Sistem demokrasi berparlimen telah memberi kuasa kepada rakyat untuk memilih kerajaan.
Sistem Raja Berperlembagaan yang memberi kuasa kepada Raja-Raja Melayu ke atas pengurusan dan pentadbiran ugama dan adat istiadat Melayu telah menjadi simbol perpaduan bangsa dan negara dan pelindung kepada adat istiadat Melayu dan Ugama Islam.


PKMM MENOLAK KEMERDEKAAN
DI LUAR INDONESIA RAYA

Apabila rancangan penubuhan UMNO pada tahun 1946, dari kalangan yang menentang Malayan Union, digabungkan dengan cita-cita berjuang untuk kemerdekaan, maka Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang dipimpin oleh mereka yang berketurunan Indonesia, telah membatalkan hasrat mereka untuk menganggotai UMNO kerana mereka berhasrat menunggu untuk Malaya bergabung dengan Indonesia, apabila Indonesia sudah berjaya merdeka, dalam satu republik MELAYU RAYA/INDONESIA RAYA.

Soekarno dan Muhammad Hatta, dalam penerbangan mereka menuju ke Aceh untuk meminta Aceh supaya menolak tawaran Belanda untuk Aceh merdeka, dan tidak bergabung dengan Indonesia. telah bertemu, di Taiping, Perak, dengan pemimpin PKMM yang terdiri dari Ahmad Bustamam, Burhanuddin Al Helmi dan Ishak Hj. Muhammad (Pak Sato). Hasil pertemuan inilah menyebabkan PKMM menarik diri dari bergabung di dalam UMNO apabila UMNO menjadikan tuntutan kemerdekaan sebagai matlamat perjuangannya. 

PENGHARAMAN PKMM OLEH PENJAJAH

Apabila pihak British menyedari rancangan PKMM untuk menggabungkan Malaya dengan Indonesia PKMM telah diharamkan.

Pengharaman parti PKMM telah melahirkan 3 buah parti baru dalam kerangka NASAKOM (NASionalis, Agama dan Sosialis - Komunis)).

Ahmad Bustamam telah menubuhkan Parti Buruh yang berideologi sosialis, Dr. Burhanuddin Al Helmi menubuhkan Parti Islam SeMalaysia (PAS), dan Bung Kahar telah menubuhkan Parti Melayu Semenanjung (PMS).

ENAM PERDANA MENTERI DARI UMNO SEJAK MERDEKA

Dalam perjalanan menuju 60 tahun Merdeka, Malaysia telah mempunyai 6 Perdana Menteri dari UMNO.

Tunku Abdul Rahman, sebagai seorang berkelulusan peguam dan putera di raja, telah memimpin Malaya sehingga MERDEKA dan berjaya menubuhkan MALAYSIA dengan tergabungnya Sabah, Sarawak di dalamnya setelah dimasukkan Singapura dan lepas itu dikeluarkannya. Tunku berjaya dalam mendaulatkan Negara.

Tun Abdul Razak, sebagai seorang berkelulusan peguam dari kerabat bangsawan Pahang, telah berjaya membesarkan parti PERIKATAN menjadi parti BARISAN NASIONAL dengan gabungan lebih banyak parti di dalamnya. Tun Abdul Razak terkenal dengan kejayaannya dalam urusan pembangunan luar Bandar dan ciptaan DASAR EKONOMI BARU.

Tun Hussein Onn, sebagai seorang berkelulusan peguam dari keluarga bangsawan, telah menumpukan perhatian untuk menentang gejala rasuah dan mengamankan mereka yang disyaki mempunyai aliran pemikiran ala sosialis menuju komunis.

Tun Dr. Mahathir Mohamad, sebagai seorang berkelulusan doktor, adalah bapa pemodenan Malaysia dengan DASAR PEMBANGUNAN NEGARA sebagai lanjutan, dengan pendekatan baru, kepada DASAR EKONOMI BARU. Sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun beliau berjaya meletakkan Malaysia di tahap yang dihormati dunia. Beliau dihormati oleh dunia Islam dan dunia ketiga, sementara dicemburui oleh dunia Barat kerana Malaysia menjadi negara contoh sebagai negara berbilang kaum yang aman dan menjadi negara contoh bagi negara-negara islam. Tun Dr. Mahathir menganggap dirinya sebagai seorang fundamentalis Islam kerana fundamental Islam itu adalah baik kesemuanya. 

Tun Abdullah Ahmad Badawi, sebagai seorang yang berkelulusan di bidang ugama Islam, telah memperkenalkan ISLAM HADHARI atau 'civilized Islam' sebagai alternatif kepada FUNDAMENTALIST ISLAM. Tujuannya ialah untuk memperkenal 'brand Islam' yang boleh diterima oleh bukan Islam di dunia. Dengan memperkenalkan Islam yang hadhari atau 'bertamadun' berertilah wujud Islam yang tidak bertamaddun atau yang tidak civilized. Di bawah pemetintahan Tun Abdulah Ahamd Badawi negeri asalnya Pulau Pinang telah jatuh ke pemerintahan DAP sementara negeri Kelantan kekal di bawah pimpinan PAS. 

Dalam PRU ke 11, setelah Tun Abdullah mengambil alih kepimpinan negara dari Tun Dr. Mahathir, Barisan Nasional telah mendapat kemenangan majoriti yang amat cemerlang. Kerana kelalaian, penyelewengan, rasuah dan keangkohan maka dalam PRU 12 Barisan Nasional menghadapi nasib yang parah dengan hilangnya Pulau Pinang kepada DAP buat kali pertama dalam sejarah. PAS kekal memerintah Kelantan, Selangor diperintah oleh PKR dan dalam Wilayah Persekutuan majoriti kerusi Parlimen dikuasai oleh pembangkang. 

Tun Abdullah Ahmad Badawi terpaksa meletak jawatan.

Dato' Seri Najib Tun Razak, seorang pelajar dalam bidang ekonomi, telah mengugurkan langsung DASAR EKONOMI BARU, ciptaan di bawah pemerintahan ayahnya, dengan memperkenalkan MODEL EKONOMI BARU sekaligus dengan pengenalan konsep 1Malaysia. 

TERKECAINYA SEBUAH HARAPAN - SEKSYEN 117 1MDB -

Harapan rakyat ke atas janji-janji murni telah berkecai apabila Model Ekonomi Baru dilatarbelakangkan dengan penubuhan 1MDB yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan tanpa pertimbangan oleh Kabinet dan/atau Majlis Tertinggi UMNO atau Barisan Nasional. Oleh kerana Perdana Menteri berhak melantik siapa saja antara ahli parlimen untuk menjadi Menteri Kewangan maka beliau berhak melantik dirinya jua.

Seksyen 117 Memorandum & Article of Association 1MDB memerlukan semua keputusan dan tindakan membelanjakan wang oleh 1MDB dengan arahan, persetujuan dan kelulusan Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri. 

Dengan seksyen 117 ini berertilah Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan bertanggungjawab sepenuhnya atas segala perbelanjaan dan pelaburan yang dilakukan. 

Dengan sendirinya 1MDB menjadi alat penyalahgunaan kuasa yang dihalalkan oleh M&A 1MDB itu sendiri.

ASAS KEBERANIAN PEGAWAI BERTINDAK

Bersebabkan Seksyen 117 segala tindakan yang salah dan tidak munasabah oleh 1MDB, yang dibuat oleh pagawai dan kakitangan 1MDB dilindungi, oleh Perdana Menteri sebagai satu-satunya tokoh yang berkuasa atas keluar masuknya wang 1MDB. 

TINDAKAN YANG TIDAK MUNASABAH DAN TIDAK BERMORAL

Dengan hutang yang terlalu banyak, yang dijamin oleh Kerajaan Malaysia, dan dengan pelaburan yang rakus dan tidak menentu didampingi dengan pembaziran perbelanjaan untuk projek, kegiatan dan pelaburan yang tidak munasabah dan bermoral Malaysia kini terkenal dengan amalan rasuahnya di antara yang paling teruk di dunia. 

Akibat kerugian dan pelaburan yang tidak menguntungkan maka kerajaan terpaksa menanggung beban faedah atau bunga atas pinjaman yang membebankan negara dan seterusnya rakyat jelata.

BEBAN TANGGUNGAN RAKYAT

Untuk membayar faedah atas hutang yang bertimbun kerajaan terpaksa berhutang lagi. Selain dari bank tempatan, badan-badan amanah kerajaan seperti KWAP, KWSP, LUTH badan-badan tabungan seperti LTAT dan juga institusi pembangunan seperti FELDA terpaksa mengorbankan dirinya untuk mempertahan kesinambungan dan kewujudan 1MDB.  Rakyat jelata juga dibebankan dengan GST dan kenaikan harga barang akibat dari terhapusnya subsidi dan kejatuhan nilai ringgit dibanding dengan mata wang asing.

WARISAN HUTANG DAN RIBA

Untuk masakini, selain dari tidak ada pekerjaan untuk anak, termasuk yang berkelulusan, yang bekerja juga tidak mencukupi pendapatannya apatahlagi lagi dengan kenaikan harga barang, untuk anak cucu pula kita wariskan hutang dan faedah yang bertimbun akan menjadi pusaka bagi anak cucu bangsa kita di masa akan datang. Jika sekarang pun kita terpaksa menekan rakan untuk bayar faedah hutang dan melutut kepada Yahudi dan Komunis untuk mendapat pertolongan.

KITA BERGANTUNG KEPADA YANG TIDAK BERTUHAN

Pihak komunis yang membantu kita pula meletakkan berbagai syarat yang tidak menguntungkan kita dan akibatnya akan mengancam kedudukan politik bangsa kita.

PERPISAHAN GEREJA KATHOLIK DENGAN ANGLICAN

Gereja Roman Katholik, dalam usahanya untuk membaiki mutu hidup penganutnya telah memberi perhatian kepada tiga bidang iaitu (1) Pendidikan, (2) Kesihatan dan (3) Ekonomi.

Dalam bidang pendidikan pihak gereja telah banyak mendirikan sekolah di mana sahaja mereka berada dan sekolah-sekolahnya digelar 'missionary schools seperti Sekolah St. Michael, di Taiping'. Untuk kesihatan mereka mewujudkan hospital atau rumah sakit saperti Hospital Asunta di Petaling Jaya. Untuk bidang ekonomi pula mereka mendirikan koperasi dan majukan kebolehan mengeluarkan berbagai kraftangan yang bermutu. 

Apabila raja Inggeris Henry ke IIX menaiki takhta dan selera seksualnya menembusi batasan yang ditentukan oleh Gereja Katholik maka beliau telah mengeluarkan United Kingdom dari kalangan yang Negara yang menjadikan agama negaranya sebagai  agama Kristian Katholik kepada mazhab baru bernama Gereja Anglican. 

Dengan sendirinya raja Henry ke IIX tidak perlu patuh lagi kepada peraturan Gereja Katholik yang membataskan jumlah dan jenis isteri yang boleh dinikahi, sebaliknya, sebagai kepala Gereja Anglican menghalalkan poligami yang membolehkan lebih ramai isteri jika disbanding dengan agama Islam sekalipun.

MULANYA KEMISKINAN MENJADI MODAL POLITIK

Dengan berlakunya perubahan kerana terpisahnya Gereja Inggeris dari menganut  Gereja Katholik sekaligus kerajaan British telah menggugurkan peranan gereja dalam bidang ekonomi kemiskinan dengan program seperti kraftangan dan hanya terlibat dalam membangun sekolah dan hospital sahaja sebagaimana yang didapati di negara-negara yang di bawah jajahan British, termasuklah Malaysia. Francis Bacon dengan jelas menegaskan bahawa masalah ekonomi, yang merangkumi kemiskinan, bukan lagi tanggungjawab gereja tetapi diletak sebagai tanggungjawab kerajaan atau di bawah kuasa politik.

Sejak itulah nasib orang miskin di negara-negara yang pernah dijajah oleh British menjadi tanggung-jawab dan permainan orang-orang politik.

'SAYA BUKAN PENCURI'

Apabila Presiden Turki Erdogan ditanya bagaimana negaranya boleh dengan cepat menjadi negara maju walaupun sebelumnya sangat ketinggalan dibanding dengan negara-negara lain di Barat, dan kini menjadi antara satu-satunya negara di dunia yang telah selesai membayar semua hutang dari Bank Dunia, beliau dengan cepat menjawab, 'SAYA BUKAN PENCURI'.

Berertilah, Erdogan berpendapat, negara yang kaya dengan hasil bumi, atau pun sudah menjadi kaya dengan pembangunan industri yang banyak, boleh menjadi miskin jika pemimpinnya seorang pencuri.

Walaupun kenyataan Erdogan ini kedengaran kasar dan sombong ianya tidak boleh diketepikan tanpa dianalisa dan diselidiki melihat kepada kejayaan Turki di bawah pimpinannya.

KEJAYAAN MASA LALU

Malaysia juga pernah dianggap berjaya di satu masa dulu sehingga ditabal sebagai (1) salah satu dari Harimau Asia, (2) sebuah negara contoh di kalangan negara-negara Islam, (3) sebuah negara contoh di antara negara-negara yang sedang membangun, (4) sebuah negara contoh di antara negara-negara di selatan khatulistiwa, (5) sebuah negara yang berani dan berjaya mengelak dari meminjam dari IMF dalam menghadapi krisis kewangan Asia, (6) sebuah negara yang bebas dari belanggu hutang, (7) sebuah negara yang suka didatangi oleh pelajar-pelajar asing untuk menuntut ilmu kerana melihat kepada kamajuan Malaysia di waktu itu.

BELAJAR DARI SEJARAH

Sebelum kita dapat memahami di mana kita berada sekarang dan ke manakah arah yang akan kita tuju elok juga kita pelajari apa yang dirumuskan oleh sejarawan Alexander Fraser Tytler, seorang peminat Ibn Khaldun, pada tahun 1776 mengenai perangai manusia dalam meniti tamaddun sejarahnya.

Alexander berkata:

Man moves 

1. From bondage (and poverty) to spiritual faith - Dari perhambaan (dan kemiskinan) timbul semangat keagamaan;

2. From spiritual faith to great courage - Kerana semangat agama timbul keberanian;

3. From great courage to liberty - Dari keberanian datanglah perjuangan menuju kebebasan dan kemerdekaan;

4. From liberty to prosperity (abundance) - Dari kemerdekaan datang kemewahan;

5. From prosperity (abundance) to greed - Dari kemewahan datang sifat tamak;

6. From greed (selfishness) to frustration - Dari tamak datang kekecewaan;

7. From frustration to complacency - Dari kekecewaan datang kepuasan;

8. From complacency to apathy - Dari kepuasan datanglah sifat tidak peduli;

9. From apathy to dependency - Dari sifat tidak peduli datanglah sikap bergantung kepada pihak lain;

10. From dependency back to bondage again - Dari bergantung kepada orang lain kembalilah kita untuk dijajah semula.

Di peringkat manakah kita sekarang ini?

Kita berkecamuk di berbagai peringkat.

Dalam masa 60 tahun kita merdeka jurang perbezaan antara kita, dan bukan antara kita dan bukan kita, dapat kita fahami dengan meneliti di mana kita berada dalam strata perkembangan sejarah negara seperti aliran perkembangan sebagaimana huraian Alexander Fraser Tytler seperti yang tertera di atas.

SEMANGAT KEAGAMAAN

1) Bagi golongan yang masih miskin dan menerima kemiskinan sebagai cara hidup yang tidak dapat dielakkan atau dibaiki, mereka mencari kedamaian dengan harapan di akhirat nanti mereka akan menjadi penghuni syurga jika mereka bersikap pasrah dengan apa saja wadah, termasuk politik, sepanjang mereka menderitai hidup ini. Apatah lagi jika mereka terhibur dengan kata-kata bahawa dunia ini adalah syurga bagi golongan kuffar. 

KEBERANIAN

2) Bagi golongan miskin yang mewarisi keyakinan bahawa Allah tidak akan merobah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu merobah dirinya sendiri, akan wujud satu keberanian dalam diri mereka untuk mengumpul tenaga dan bergerak menyusun persatuan, organisasi atau pasukan yang akan membebaskan diri mereka dari sebarang belenggu atau bentuk penjajahan.

KEMERDEKAAN

3) Dengan keberanian yang tumbuh subur dari kesedaran berugama, generasi terlibat akan berjaya membebaskan negara dari penjajahan sehingga tercapai kemerdekaan. Mereka akan terus menanam kesedaran kedalam jiwa keluarga dan keturunannya tentang perlunya kemerdekaan dikekalkan.

KEMEWAHAN

4) Dengan tercapainya kemerdekaan maka usaha membangunkan negara turut memberi kesan dan keuntungan kepada rakyat dengan potensi untuk hidup aman, mewah dan sejahtera. Bagi yang memiliki jiwa berniaga atau semangat keusahawanan mereka boleh menjadi senang dan kaya raya. Bagi yang tidak begitu kaya, khususnya yang mempunyai keahlian vokesyenal dan profesyenal, mereka akan menjadi golongan menengah yang menstabilkan masyarakat dan negara.

TAMAK

5) Bagi ramai antara mereka yang baru merasa nikmat kekayaan, melalui perniagaan atau kerana penyelewengan dalam urusan pentabdirannya, sikap mereka akan berubah menjadi tamak, diikuti dengan kemerosotan iman demi kekayaan. Mereka akan merebut kuasa dengan kekayaan yang ada, untuk menambah lagi kekayaan sehingga mampu memuaskan kemegahan, ketakburan dan nafsu kejantanannya. Mereka yang tamak ini akan mengancam budaya bangsa. Apabila golongan ini bertemu dengan metodologi RASUAH, cara kaya dengan mudah, penyakitnya menular laksana barah.

KEKECEWAAN

6) Sebahagian dari yang tamak ini akan menemui kegagalan dalam perlumbaan untuk menghambat kekayaan seterusnya dan mereka menjadi manusia yang kecewa.

KEPUASAN

7) Sebahagian yang lain akan puas hati dengan apa yang sudah diperolehi dan berhasrat menghabiskan sisa hidupnya dalam aman di mana jua. Mereka terdiri dari kalangan ahli dalam bidang vokesyenal dan profesyenal dalam berbagai bidang. Ramai yang akan berpindah ke Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat dan segelintir ke tempat-tempat lain seperti Kazakhstan. 

TIDAK PEDULI

8) Sebahagian dari mereka yang tamak dan tidak puas hati dengan apa yang ada, tetapi tidak nampak cara untuk meneruskan usaha menambah kekayaan, mereka akan jadi apathetik dan tidak peduli lagi kepada keadaan agama, bangsa dan negara.

BERGANTUNG KEPADA PIHAK LAIN

9) Bagi yang berhasrat mengekalkan usaha untuk terus mencari kekayaan, dengan cara apa sekalipun, mereka akan mendekati watak seperti Jho Low, Riza Aziz, dan lain-lain lagi, yang boleh menghubungkan mereka dengan watak seperjuangan yang lain. Di peringkat inilah institusi seperti 1MDB tercipta. Kerana tokoh yang bernafsu, yang mengendali 1MDB, tidak mempunyai keahlian dalam bidang perniagaan dan juga bukan dari kalangan usahawan, maka institusi seperti 1MDB boleh menjadi perintis kepada satu skandal yang cukup besar.

DIJAJAH SEMULA

10) Apabila RIBA atas pinjaman oleh 1MDB dari Bank Goldman Sachs yang dimiliki oleh Yahudi, terlalu tinggi jika dibandingkan dengan faedah atas pinjaman sedemikian dengan jaminan kerajaan; apabila komisyen atas pinjaman begitu tinggi, jika dibandingkan dengan tiada perlunya membayar komisyen jika urusan pinjaman dibuat oleh kerajaan melalu Bank Negara Malaysia, maka kerana salah strategi pelaburan RIBA atas pinjaman tidak dapat dibayar kecuali dengan hutang tambahan. Apabila institusi bank, dan badan-badan amanah kerajaan tidak berkesanggupan lagi untuk mendukung 1MDB dengan bebanan hutangnya maka hartanah negara terpaksa dijual, dan projek yang tidak perlu terpaksa diberi kepada syarikat kaya, dari negara asing, untuk mendapat komisyen yang lumayan banyaknya, sebagai tambahan kepada beban cukai, seperti GST, yang dikenakan ke atas rakyat jelata. 

DI PERINGKAT INI NEGARA YANG MERDEKA DENGAN SENANG BOLEH DIJAJAH SEMULA. NAU'ZUBILLAH

Posted by Sanusi Junid at 3:20 PM 


Thus Article Patut dibaca: Menuju penjajahan lepas 60 tahun merdeka?

Itulah artikel Patut dibaca: Menuju penjajahan lepas 60 tahun merdeka? Kali ini, mudah-mudahan dapat memberikan manfaat kepada anda semua. dengan baik, melihat anda dalam menghantar barang-barang lain.

Anda sedang baca artikel Patut dibaca: Menuju penjajahan lepas 60 tahun merdeka? dengan alamat pautan https://malayof.blogspot.com/2018/01/patut-dibaca-menuju-penjajahan-lepas-60.html

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Patut dibaca: Menuju penjajahan lepas 60 tahun merdeka?"

Post a Comment