Hang Tuah: Sebuah interpretasi dialektikal

Hang Tuah: Sebuah interpretasi dialektikal - kawan-kawan Hallo MALAY OF RE NEWS, Dalam artikel yang anda baca kali ini dengan tajuk Hang Tuah: Sebuah interpretasi dialektikal, Kami sediakan artikel ini untuk anda membaca dan mendapatkan maklumat di dalamnya. Mudah-mudahan kandungan posting Artikel BUDAYA, Artikel EKONOMI, Artikel ENTERTAIMENT, Artikel HOBY, Artikel NEWS, Artikel OLAHRAGA, Artikel POLITIC, Artikel TRAVELING, Kami menulis ini, anda boleh memahami. Baiklah, membaca baik.

Tajuk : Hang Tuah: Sebuah interpretasi dialektikal
link : Hang Tuah: Sebuah interpretasi dialektikal

Baca juga


Hang Tuah: Sebuah interpretasi dialektikal

Hang Tuah melawan kleptokrat: Sebuah interpretasi dialektikal
Pada 2 Mac 2018
oleh 
Apabila saya berbicara tentang Hang Tuah, ada tiga perkara yang orang selalu diperkatakan:

Pertama, adakah Hang Tuah itu benar-benar wujud?

Kedua, dan tidak lari dari kerangka pemikiran berasaskan kaum dalam masyarakat kita, adakah Hang Tuah itu Melayu ataupun Cina?

Ketiga, perihal Hang Tuah membunuh Hang Jebat.

Apabila saya terbitkan artikel Hang Tuah yang pertama tidak lama dahulu, saya perhatikan bahawa ramai komentator tidak terlepas daripada tiga perkara ini apabila berbincang tentang Hang Tuah.

Persoalan sama ada Hang Tuah itu benar-benar wujud atau tidak terpaksa saya biarkan untuk diperdebat oleh sejarawan dan ahli arkeologi. Saya tidak mempunyai ilmu dan kemahiran dalam lapangan itu.

Ada yang berkata bahawa, buat apa peduli jika mungkin Hang Tuah ini tidak wujud dan hanya cerita rekaan semata-mata?

Saya rasa pendapat sedemikian tidak larilah daripada pandangan bahawa karya-karya agung seperti Ramayana dan Xi You Ji (Journey to the West) adalah cerita rekaan semata-mata, maka tiada sebarang pengajaran diperoleh daripada mereka yang terpahat dalam jiwa masyarakat kita selama ini.

Tidak sama sekali.

Dalam Pengenalan beliau kepada Hikayat Hang Tuah, Dr. Kassim Ahmad menulis:

“Soal-soal apakah Hang Tuah dan Hang Jebat betul-betul ada, apakah cerita ini benar-benar berlaku dan sebagainya bukanlah soal-soal yang kena pada tempatnya….Hikayat Hang Tuah ialah sebuah epik Melayu. Di dalamnya telah dilahirkan cita-cita dan kebesaran bangsa Melayu. Ia telah mencatatkan riwayat hidup bangsa ini dari sejak mulanya, melewati zaman pembangunannya, lalu ke zaman kebesarannya, lalu ke saat nahasnya…Tokoh utamanya Hang Tuah, mewakili bangsa itu sendiri – cita-citanya, kebolehannya dan sikap hidupnya…”

Kita perlu faham bahawa Hikayat Hang Tuah bukan sekadar biografi tetapi ia juga merupakan sebuah rekod sejarah idea tamadun Melayu.

Saya suka memetik kata-kata watak Shima dalam filem XX Ray 2 apabila ditanya sama ada Hang Tuah ini hanyalah sekadar mitos yang tidak wujud. Jawabnya; “Hang Tuah existed and will always exist in the Malay soul.” (Hang Tuah wujud dan akan sentiasa wujud dalam jiwa Melayu).

Soal kedua itu tentang samada Hang Tuah Cina atau Melayu, saya sekadar menjawab melalui catatan Hikayat Hang Tuah bahawa ibu bapanya bernama Hang Mahmud dan Dang Merdu yang asalnya tinggal di Sungai Duyung dan kemudiannya berpindah ke Bentan kerana faktor ekonomi. Tapi yang menariknya Hang Tuah mempunyai seorang ayah angkat Cina semasa di Melaka. Dia juga pernah diambil menjadi anak angkat oleh orang-orang besar di India, di Arab, dan di Eropah. Ini menunjukkan sikap inklusif serta berhemah pahlawan Melayu terunggul kita sehingga disenangi orang waima dari bangsa lain sekalipun.

Soal ketiga tidak kurang kompleksnya kerana masing-masing ada pandangan mereka terhadap pertarungan Tuah dan Jebat itu. Inilah persoalanan yang saya ingin bincangkan dalam perenggan-perenggan seterusnya.

Interpretasi konvensional pertarungan Tuah-Jebat

Pertarungan tersebut yang merupakan antara babak penting lagenda Hang Tuah juga menjadi titik perdebatan falsafah Melayu tentang hubungan rakyat dan kerajaan.

Asasnya, ada dua interpretasi yang popular.

Pertama, interpretasi konservatif yang memandang kepada Hang Tuah sebagai ikon konservatif yang setia kepada raja walau apa jua keadaan. Catatan Muzium Negara mengisahkan Hang Tuah sebagai menjadi ikon sepanjang zaman “bukan sahaja sebagai seorang pahlawan yang gagah berani tetapi juga kerana sifat taat setianya kepada raja sehingga sanggup berkorban apa saja untuk baginda.”

Dr. Shaharuddin Maaruf dalam kajian beliau tentang “Konsep Wira Dalam Masyarakat Melayu” menyifatkan falsafah hidup Hang Tuah sebagai, “Dipengaruhi oleh taat setia yang membuta tuli kepada tuannya.”

Interpretasi kedua, saya takrifkan sebagai interpretasi borjuasi bagi pihak yang melihat kepada Hang Tuah sebagai hamba feudal yang setia buta kepada raja. Hang Jebat dalam pandangan ini diangkat sebagai ikon revolusioner yang berani menentang raja yang jahat.

Siapa boleh lupa semangat Hang Jebat yang diwatakkan oleh Allahyarham Ahmad Mahmud begitu dramatis bersyarah kepada rakan-rakannya tatkala dia ingin pergi membalas dendam kematian Tuah di tangan sultan: “Suatu masanya nanti kalau siapa bertanya kenapa Jebat menderhaka. Tentu orang akan menjawab: kerana rajanya yang tidak adil!”

Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah menjadi sinonim dengan perbuatan ‘khianat’ ke atas raja atau sultan. Ia menjadi sebuah justifkasi untuk bersikap ingkar ke atas raja oleh masyarakat Melayu.

Ingat lagi filem Aziz M Osman, XX Ray 2 di mana hero zaman modennya, Amir, apabila terhumban ke Melaka kurun ke-15, di saat Hang Tuah dan Hang Jebat sedang bertarung, ingin campur tangan menghalang Tuah membunuh Jebat. Katanya “sejarah telah membuktikan yang Jebat membela kebenaran…malah dia penentang tradisi pemerintah yang memerintah ikut hawa nafsu, dia pengasas demokrasi!”

Kedua-dua interpretasi konservatif dan borjuasi ini tidak berlaku adil kepada Hang Tuah dalam Hikayat.

Interpretasi dialektikal: Meletakkan Hang Tuah pada zamannya

Saya ingin mencadangkan interpretasi dialektikal terhadap Hang Tuah, iaitu kita perlu melihat dan menilai tindak tanduk Hang Tuah, serta Hang Jebat, dalam konteks zaman mereka, dengan mengambil kira latar belakang peristiwa yang menjurus ke arah pertarungan terkenal itu, serta weltanschauung (pandangan dunia) zaman tersebut.

Pertama sekali, Sultan Mansur Shah, sultan Melaka ketika itu bukan seorang raja yang zalim seperti yang kita sangka dalam konteks “raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah”. Mengikut penulis Portugis, Tomé Pires dalam catatan beliau, Suma Oriental, yang merupakan antara rekod paling awal tentang tanah kita ini daripada kalangan orang Barat, “Mamsursa (Mansur Shah) memerintah dengan bijaksana, berpandukan nasihat orang tua-tua untuk mentadbir kerajaan dengan baik dalam perkara keadilan dan memelihara kerajaan baginda… Baginda berdamai dengan pedagang dan merupakan pemerintah yang berjiwa muhibah.” Orang-orang dagang ketika itu mengiktirafkan bahawa pemerintahan Sultan Mansur Shah lebih baik daripada raja-raja sebelumnya dan baginda merupakan seorang “pencinta keadilan”.

Keduanya, dan ini telah pun diulas acap kali oleh ramai komentator, tindakan derhaka Jebat sebenarnya bukan sekadar kerana setiakawan dan pentingkan keadilan seperti yang digambarkan dalam filem klasik hitam putih Hang Jebat lakonan seniman Nordin Ahmad. Dalam Hikayat, semasa pertarungan Tuah-Jebat, Hang Jebat sendiri mengakui bahawa beliau telah melakukan pembunuhan kejam beramai-ramai sehingga “empat puloh hari orang Melaka membuangkan bangkai dalam negeri Melaka ini…”.

Ketiganya dan paling penting sekali, saya ingin dekonstruksi tindakan-tindakan feudal Tuah-Jebat ini dalam konteks moden kita.

Kesetiaan Hang Tuah terhadap Sultan Melaka perlu dilihat dari kerangka dunia zaman tersebut.

Dalam filem XX Ray 2, apabila diberitahu oleh pengembara masa dari zaman kita bahawa di zaman moden, manusia boleh pergi ke Mekah tidak sampai sehari dengan menduduki kapal terbang persis burung besi, Hang Tuah terus kelihatan bingung. Tidak masuk akal langsung kerana di zamannya, dari Melaka ke Temasek (Singapura) sahaja pun sudah berminggu lamanya. Sama jugalah untuk kita apabila melihat tindakan Tuah-Jebat dari kerangka zaman kita, tidak munasabah sama sekali.

Untuk memahami kesetiaan Hang Tuah kepada raja, kita perlu memahami bahawa pada zaman tersebut, raja ialah asas kepada kosmos ataupun alam. Raja berasal daripada keturunan dewa kayangan yang diturunkan oleh Tuhan untuk memimpin dan membimbing manusia. Oleh itu, segala kesejahteraan di dunia terikat dengan baik buruk nasib raja.

Dalam Hikayat, raja kayangan, Sang Perta Dewa, bernubuat bahawa “anak [baginda, Sang Sapurba] inilah akan jadi raja di dalam dunia; akan menentukan asal raja-raja; bahawa diturunkan Allah Ta’ala akan menjadi raja datang pada akhir zaman.”

Konsep kemuliaan raja pada zaman tersebut adalah begitu penting sehinggakan “barang siapa melihat raja saperti melihat Allah Ta’ala” dan “raja itu akan ganti Allah Ta’ala di-dalam dunia ini”.

Begitu penting sekali seorang raja bagi sesebuah negeri, sehinggakan seorang saudagar tua dari India, Parmadewan sanggup membelanjakan hartanya untuk mengembara “ka-Tanah Melayu itu sambil berniaga-niaga supaya ku-pinta anak raja itu sa-orang ku-jadikan raja benua India ini.” Apabila Parmadewan mengadap Sultan Melaka, beliau begitu kagum, “demikian-lah negeri yang ada beraja itu; terlalu amat baik perentahnya negeri ini. Shahadan ada pun benua India, sunggoh pun negeri besar dan banyak ra’ayatnya, bukan negeri besar namanya daripada tiada beraja.”

Oleh kerana raja merupakan asas kepada alam, maka negeri beraja dilihat sebagai masyarakat yang stabil dan rakyatnya hidup senang. Sebaliknya, jika tidak beraja, sesebuah negeri itu akan menjadi kacau bilau dan huru hara. Ketika Hang Tuah berada dalam persembunyian di Hulu Melaka dan Hang Jebat menderhaka, tok gurunya yang alim, Sheikh Mansur memberitahu Hang Tuah bahawa, “Melaka itu haru-hara saperti alah musoh. Sunggoh pun tiada alah, istana raja beroleh akan orang… jika anak-ku lambat kembali, negeri Melaka itu pun habis binasa; raja pun entah mati siapa tahu.”

Justeru, tidak adil kita memaksa kerangka demokrasi dan sistem kerajaan moden untuk menghakimi tindakan Hang Tuah sebagai “taat setia yang membuta tuli kepada tuannya.” Hang Tuah manusia zamannya, terikat dengan pandangan dunia zaman itu, lantaran tindak tanduknya pun berpandukan pegangan terhadap pandangan dunia sedemikian.

Hang Tuah zaman moden akan menjadi pendukung demokrasi

Saya ingin mengajak kita untuk melihat tindakan Hang Tuah sebagai suatu perbuatan untuk memastikan kesejahteraan masyarakatnya dengan bertekad mempertahankan sistem yang diyakininya sebagai tunggak kestabilan alam tersebut.

Kita boleh lihat perkara ini melalui kegembiraan rakyat Melaka apabila mereka mendapat tahu bahawa Hang Tuah masih hidup lagi ketika mereka bersusah hati dengan tindakan derhaka Hang Jebat. Hikayat mencatatkan betapa  “segala orang negeri itu pun terlalu sukachita dan berlari-lari datang menyembah Laksama, seraya berkata, ‘Sa-kali ini hidup-lah kita sekalian; lepas-lah daripada si-Jebat itu, kerana bapa kita yang mati itu hidup pula.’”

Zaman ini sudah tiada lagi konsep raja keinderaan. Sebaliknya negara kita mengamalkan sistem demokrasi yang mendukung konsep raja berperlembagaan. Demikian juga, tunggak kestabilan negara telah beralih kepada prinsip demokrasi di mana rakyat-lah yang menjadi tuan bagi menentukan hala tuju serta kesejahteraan negara.

Berdasarkan analisa ini, jika Hang Tuah hidup di zaman kita, apakah pendirian pahlawan terulung sepanjang zaman tersebut?

Saya yakin, amat jelas sekali Hang Tuah akan bermati-matian mempertahankan sistem demokrasi yang kita miliki.

Dia akan sanggup mengenepikan segala kepentingan peribadi, dan menjadikan kesejahteraan rakyat dan negara sebagai asas perjuangannya. Tuan empunya Taming Sari akan mengembari unsur-unsur rasuah, salahguna kuasa, dan segala kepincangan yang boleh mengugat demokrasi sekaligus kesejahteraan rakyat.

Dan jika saya dibenarkan berimaginasi terlanjak sedikit, Hang Tuah mungkin seorang ahli DAP, PKR, Amanah ataupun PPBM, sebab sifat serta pendiriannya yang tidak rela berkomplot dengan anasir khianat yang merosakkan kepentingan rakyat dan negara.

Jika sekalipun dia ahli UMNO, dia akan menentang sekeras-kerasnya si Penderhaka amanah rakyat, yang mencabul serta merompak harta rakyat dengan alasan “membela Melayu”.

Barangsiapa yang berpendapat bahawa pahlawan Melayu Hang Tuah akan membuta tuli menyokong pemimpinnya walaupun korup dan jahat, maka dia seorang yang buta sejarah dan sama ada secara sengaja atau tidak, telahpun menghina Hang Tuah.

Jika Hang Tuah hidup pada hari ini, dia pasti tidak akan bersubahat dengan kleptokrat yang merosakkan bangsa dan negara. 


Thus Article Hang Tuah: Sebuah interpretasi dialektikal

Itulah artikel Hang Tuah: Sebuah interpretasi dialektikal Kali ini, mudah-mudahan dapat memberikan manfaat kepada anda semua. dengan baik, melihat anda dalam menghantar barang-barang lain.

Anda sedang baca artikel Hang Tuah: Sebuah interpretasi dialektikal dengan alamat pautan https://malayof.blogspot.com/2018/03/hang-tuah-sebuah-interpretasi.html

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Hang Tuah: Sebuah interpretasi dialektikal"

Post a Comment